100 projek berisiko terbengkalai akibat kenaikan harga bahan api

100 projek berisiko terbengkalai akibat kenaikan harga bahan api

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 100 projek infrastruktur dan pembangunan dikhuatiri terbengkalai akibat kos kenaikan harga bahan api yang membebankan pihak kontraktor sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, bagi mengelakkan perkara itu, pihak kerajaan digesa untuk menggunakan semula mekanisme Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi bahan binaan utama bagi tempoh sehingga enam bulan.

Katanya, tanpa VOP, bebanan itu boleh menyebabkan hampir satu juta pekerja sektor berkaitan merangkumi jurutera, juruteknik dan penyelia berpotensi kehilangan pekerjaan.

“Kenaikan drastik harga bahan api ini menjadi lonjakan luar biasa yang memberi tekanan kepada kos operasi industri pembinaan, khususnya membabitkan penggunaan jentera berat, pengangkutan bahan binaan serta rantaian logistik projek.

“Kebanyakan pekerja berhenti dan tidak boleh meneruskan kerja kerana tidak mampu membawa sewa mesin khususnya membabitkan kerja infrastruktur.

“Justeru kita mahu kerajaan mengaktifkan semula VOP yang dihentikan pada 2023 lalu disebabkan kos bahan binaan dijangka meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus dan menjejaskan 41,000 kontraktor,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

VOP ialah satu mekanisme dalam kontrak pembinaan yang membolehkan pelarasan harga dibuat apabila berlaku perubahan kos yang berada di luar kawalan.

Tujuan mekanisme tersebut adalah untuk memastikan kelangsungan projek tanpa menjejaskan kualiti atau kemajuan kerja, selain mengelakkan tanggungan kerugian besar kepada kontraktor.

Tambah Azman, pihaknya turut merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi secara berperingkat bagi mengurangkan kejutan kos kepada industri.

“Selain pelaksanaan VOP, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan juga perlu mengkaji semula projek sedia ada yang terjejas, kawalan harga bahan binaan, mengekalkan levi sedia ada dan pelanjutan tempoh kontrak bagi projek terjejas.

“Bagi jangka panjang pula, kerajaan perlu melaksanakan pakej rangsangan khas untuk industri pembinaan dan kontraktor, penstrukturan semula kontrak dan pengurangan kos bahan binaan import.

“Kita juga meminta kerajaan mengadakan sesi libat urus yang lebih menyeluruh bersama pemain industri bagi merangka langkah mitigasi yang lebih efektif dan bersasar,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN