10 penumpang cedera, bas ekspres terbalik di Skudai - Utusan Malaysia

10 penumpang cedera, bas ekspres terbalik di Skudai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 10 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik di tepi jalan dekat Kampung Sepakat Baru, Batu 11 berhampiran susur keluar Plaza Tol Skudai di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.20 malam.

Katanya, tiga buah jentera termasuk sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.29 malam dan mendapati bas ekspres berkenaan terbabas sebelum terbalik di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 10 mangsa terbabit dalam kemalangan itu. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan dua penumpang yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu bas bersama dua lagi mangsa mengalami kecederaan, namun tidak tersepit manakala empat penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambahnya, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan St. John Ambulans sebelum dihantar untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.14 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Jelasnya, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN