KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kedai emas di sekitar Jalan Masjid India di sini, diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan ketulenan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pemeriksaan bermula pukul 11 pagi itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, tiga hingga enam sampel dipilih secara rawak daripada setiap premis untuk diuji menggunakan alat pendarfluor sinar-X (XRF) bagi tujuan pengesahan standard ketulenan.
Menurutnya, semua sampel yang diuji mematuhi ketulenan seperti ditandakan dengan peratusan komposisi sebenar.
Katanya, KPDN turut menjalankan pemeriksaan tanda harga dan alat timbang sukat di semua premis.
“Kita juga memeriksa resit jualan bagi memastikan ia mengandungi 10 perkara wajib seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Artikel-artikel Yang Diperbuat Daripada Logam Berharga) 1994.
“Butiran itu ialah nama dan alamat penuh pembekal, tarikh pembelian, nama dan jenis artikel serta standard ketulenan artikel.
“Selain mereka perlu mematuhi harga logam berharga bagi setiap satu gram, berat artikel, harga artikel, kos pembuatan jika ada, tandatangan jurujual serta perihal mengenai bahagian yang dibuat daripada logam berharga yang berlainan standard ketulenannya,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi hari ini.
Mohd. Sabri berkata, tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama mengikut Seksyen 5 (1) (c) Akta Perihal Dagangan 2011.
Katanya, sebuah premis dikenakan notis selepas tidak mempamerkan harga yang jelas bagi emas tulen 999.9.
“Alasan diberikan peniaga ialah harga kerap bertukar iaitu turun naik.
“Itu tidak boleh diterima dan peniaga perlu cari jalan dan tentukan harga untuk dipamerkan dan dimaklumkan dengan jelas. Pemilik premis telah dikenakan kompaun,” katanya. – UTUSAN










