Zamri Vinoth, Tamim Dahari disiasat di bawah Akta Hasutan - Utusan Malaysia

Zamri Vinoth, Tamim Dahari disiasat di bawah Akta Hasutan

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga kertas siasatan dibuka terhadap Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth dan pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak termasuk di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Semalam, polis menahan seramai 19 individu yang menyertai himpunan berhampiran pusat membeli belah, Sogo itu termasuk Zamri dan Tamim Dahari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Zamri dan Tamim Dahari akan ditahan reman bermula hari ini manakala 17 individu lain telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Tangkapan itu kita jalankan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah, merujuk kepada keadilan preventif untuk mengelakkan berlaku apa-apa yang lebih teruk atau apa-apa yang kita rasa tidak sepatutnya berlaku.

“Dua subjek ini (Zamri dan Tamim Dahari) akan kita tahan lagi dan pagi ini ada permohonan reman akan dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, Zamri meneruskan perhimpunan itu, walaupun polis tidak membenarkannya atas faktor keselamatan awam.

Pendirian itu disuarakan Zamri menerusi beberapa hantaran di media sosial yang menegaskan perhimpunan tetap berlangsung pada pukul 8 malam semalam.

Penganjur menyatakan perhimpunan bersifat aman dan dijalankan selaras peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 manakala tanggungjawab polis adalah memastikan keselamatan sepanjang ia berlangsung.

Fadil berkata, Zamri dan Tamim Dahari turut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang berniat menyebabkan atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Manakala 17 yang lain ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah bagi tindakan pencegahan atas pembabitan dengan perhimpunan itu,” katanya.

Fadil mengesahkan polis menerima pemakluman penganjuran himpunan daripada penganjur yang terdiri daripada Gabungan Pendakwah Bebas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Katanya, risikan dan pengamatan mendapati perlunya tindakan diambil supaya perhimpunan tidak diteruskan atas faktor keselamatan awam yang menjadi keutamaan.

“Kita mendapati ada laporan polis yang dibuat oleh premis-premis sekitar tempat berkenaan yang mengatakan adanya ancaman dan pada masa sama, kita menerima 130 laporan polis yang mana siasatan telah dibuka.

“Selain daripada tangkapan semalam, kita juga menahan tiga lagi lelaki yang terbabit dalam hasutan membabitkan kes ini dan kertas siasatan disiasat IPD Klang Utara mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN