PETALING JAYA: Kadar zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan 2026 (1447H) ditetapkan pada RM8, RM16 dan RM25.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, penetapan itu dilakukan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, kadar itu mengambil kira harga semasa beras di pasaran serta ukuran satu gantang Baghdad bersamaan kira-kira 2.6 kilogram beras.
“Kadar RM8 seorang adalah bagi individu yang memakan beras super spesial tempatan atau beras putih import.
“Kadar RM16 pula bagi mereka yang memakan beras wangi, beras pulut, beras rebus atau beras perang, manakala kadar RM25 bagi individu yang memakan beras basmathi, herba ponni, beras jepun/calrose, beras merah atau beras hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bayaran zakat boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah termasuk aplikasi mudah alih yang digunakan sepenuhnya di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak, selain kupon fitrah serta pembayaran tanpa tunai melalui aplikasi ZPay di lebih 200 premis terpilih.
Transaksi itu boleh dibuat melalui FPX, kad kredit atau debit, e-dompet serta Kod Respons Pantas (QR) DuitNow dengan pengesahan bayaran disalurkan secara digital dan boleh disemak menerusi sistem EZO.
Tambah Mohd. Khaidzir, ibadah tersebut sebaiknya dilaksanakan melalui lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang dilantik dan bertugas di lebih 460 masjid serta surau di seluruh negeri.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah hanya kepada PAF yang dilantik secara rasmi.
“Umat Islam di Selangor digalakkan menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN










