JOHOR BAHRU: Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang menyaksikan bandar raya ini sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat Tionghoa dari Singapura untuk berbelanja sempena perayaan itu.
Seorang pengurus hotel warga Singapura yang ditemui, Wendy Lim, 50, memberitahu, dia dan rakan-rakannya berkunjung ke bandar raya ini kira-kira sebulan sekali untuk berjalan dan menikmati pelbagai makanan dijual.
Katanya, kunjungan kali ini lebih istimewa kerana ia dibuat bagi membeli keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
“Kami datang ke JB (Johor Bahru) pada waktu cuti dengan menaiki kereta api bagi mengelak kesesakan. Menjejakkan kaki ke bandar raya ini memang suasana perayaan Tahun Baharu Cina sudah dirasai.
“Pusat beli-belah, kedai-kedai barangan dan makanan juga sudah memainkan lagu perayaan. Jadi perasaan untuk berbelanja barangan seperti kuih muih tradisional masyarakat Cina memang ada,” katanya.
Tambahnya, dia mungkin akan berkunjung ke bandar raya ini sekali lagi sebelum Tahun Baharu Cina sekiranya barangan perayaan yang diperlukan masih belum mencukupi.
Seorang juruteknik, Raymond Chan, 39, pula berkata, dia berkunjung ke bandar raya ini bersama isteri dan dua anaknya bagi mencari kelengkapan seperti pakaian tradisional masyarakat Cina.
“Memang kami boleh berbelanja di Singapura kerana suasana musim perayaan Tahun Baharu Cina antara dua-dua negara ini hampir sama. Namun saya perlu akui kadar tukaran mata wang merupakan antara faktor utama.
“Di sini saya dapat membeli keperluan seperti pakaian kami sekeluarga dan pelbagai jenis bakul hadiah atau ‘hamper’ untuk diberikan kepada keluarga dan rakan-rakan sempena Tahun Baharu Cina dengan harga kira-kira RM3,000 iaitu kurang daripada S$1,000.
“Dengan jumlah wang tersebut, jika saya berbelanja di Singapura mungkin tidak dapat barangan seperti yang peroleh di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengurus sebuah kopitiam di Jalan Tan Hiok Nee, di sini dan hanya mahu dikenali sebagai Su pula berkata, premisnya akan dibuka sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.
“Sama seperti Tahun Baharu Cina yang lalu, memang kedai ini dibuka dan beroperasi seperti biasa khususnya demi pengunjung yang menyambut perayaan ini termasuk mereka dari Singapura.
“Bagaimanapun pelanggan kami bertukar-tukar, Tahun Baharu Cina tahun lalu majoriti pelanggaran kami dari China, manakala tahun sebelumnya dari Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN










