PUTRAJAYA: Warganegara Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran buat masa ini susulan situasi keselamatan tidak menentu di negara itu serta kawasan sekitarnya.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, pada masa sama, warganegara Malaysia yang kini berada di negara terbabit disarankan untuk mempertimbangkan langkah untuk pulang dan mengatur perjalanan sewajarnya melalui perkhidmatan komersial sedia ada.
Wisma Putra berkata, bagaimanapun, mereka yang memilih untuk terus berada di Iran dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam yang besar, dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi bantuan konsular, warganegara Malaysia boleh menghubungi pihak Kementerian secara terus menerusi Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri di talian (Waktu Pejabat): +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 E-mel: [email protected].
Talian Kecemasan (Luar Waktu Pejabat) Tel: +603-8887 4570 E-mel: [email protected]. – UTUSAN










