KEPALA BATAS : Seorang warga emas maut dipercayai akibat dirempuh oleh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Ibadur Rahman, Taman Abdullah Fahim di sini, kira-kira pukul 10.24 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, ketika kejadian, mangsa, Abdul Mutalib Che Mat, 63, sedang menunggang motosikal jenis Honda Dash.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa dipercayai tersepit pada bahagian bawah lori berkenaan, namun, berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba yang bertugas dengan menggunakan peralatan khas.
“Lelaki tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang turut berada di lokasi,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, selain penunggang motosikal yang meninggal dunia itu, terdapat seorang lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Bagaimanapun katanya, penunggang yang berusia 61 tahun itu hanya mengalami kecederaan pada bahagian lutut manakala pemandu lori terbabit yang berusia 59 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi lebih satu minit menunjukkan sebuah lori yang dipandu laju gagal membrek sebelum merempuh beberapa penunggang motosikal yang berada di persimpangan lampu isyarat berhampiran masjid berkenaan.-UTUSAN










