PUTRAJAYA: Bukan hanya bekerja di sektor restoran, namun ada warga asing yang menyalah guna pas lawatan sosial untuk terbabit sebagai rakan niaga dalam industri hiasan dalaman, perabot dan perusahaan chalet.
Itu pendedahan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai pembabitan warga asing yang menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja dan menjadi pemodal di negara ini.
Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati ada warga asing yang menjadi rakan niaga bersama rakyat tempatan untuk mengusahakan 81 unit chalet di kawasan kelolaan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
“Itu saya sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri. Kami dapati model perniagaan rakyat asing ini adalah dia masuk dengan rakan tempatan, kemudian dia sendiri mengusahakannya.
“Itu jumlahnya sehingga 81 unit chalet dan itu tentulah menjejaskan usahawan tempatan yang mengikut undang-undang.
“Kalau mereka masuk menggunakan pas lawatan sosial dan menjadi rakan niaga tempatan, itu tetap menyalahi undang-undang dan kami mengambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Justeru, katanya, beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah berkenaan peka dengan isu ini selain tidak membiarkan fasiliti pelancongan itu dibangunkan begitu sahaja.
Saifuddin berkata, pihaknya juga akan menyiasat sekiranya wujud pembabitan ejen pelancongan dan sebagainya yang terbabit membuka ruang dalam isu salah guna pas lawatan sosial ini. – UTUSAN










