PETALING JAYA: Penyanyi meningkat naik, Layla Sania, 23, melakar satu lagi pencapaian menerusi single berbahasa mandarin, Xin Nian Re Nao.
Lirik single tersebut ditulis Layla bersama bapanya, Mystictune. Layla menjadi wanita Melayu pertama yang mencipta, menulis, dan merakam single untuk Tahun Baharu Cina.
“Selain teruja, saya juga gugup ketika merakamkan lagu ini. Saya mahu memastikan ia dinyanyikan dengan ikhlas dan penuh rasa hormat.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan respons positif dan sokongan pendengar daripada pelbagai latar belakang terhadap lagu ini.
“Ia mengingatkan saya mengapa muzik adalah jambatan antara budaya yang begitu kuat,” katanya.
Video muzik lagu tersebut dihasilkan dengan kerjasama dengan jenama penjagaan kulit tempatan, Cosmoderm. Ia turut menampilkan Perry Kuan yang turut bertanggungjawab menghasilkan video tersebut di bawah terbitan syarikat UFCO.
Layla dalam masa yang sama berharap lagu ini dapat melangkaui semangat perayaan dan mewujudkan hubungan yang bermakna.
“Harapan saya, lagu ini boleh mencetuskan keinginan dalam kalangan pendengar untuk mendalami budaya lain,” tambahnya.
Layla juga pada masa yang sama meluahkan rasa gembira apabila kelahiran lagu tersebut menarik perhatian platform media Indonesia, Chindo Today:
“Sejujurnya saya terkejut, tetapi juga sangat tersentuh dengan liputan itu. Bagi saya, lagu ini bukan tentang melintasi sempadan secara kontroversi, tetapi tentang meraikan kepelbagaian melalui muzik. Saya percayamuzik seharusnya menyatukan kita, bukan memisahkankita,” jelasnya.
Xin Nian Re Nao kini tersedia di semua platform penstriman digital utama, mengajak pendengar darisemua lapisan masyarakat untuk meraikan musim perayaan bersama melalui muzik. – UTUSAN










