KOTA KINABALU: Polis menahan dua lagi anak kepada suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, Menggatal, untuk membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan empat individu ditahan berhubung kes berkenaan.
“Penahanan terbaharu itu membabitkan dua wanita tempatan masing-masing berusia 29 tahun dan 21 tahun ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam, semalam.
“Kedua-dua wanita itu adalah anak kepada suspek utama dalam kes itu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mereka ditahan membantu siasatan berhubung pembabitan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian itu.
Sebelum ini, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang juga suspek utama, ditahan pada 12 Februari lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), Kota Kinabalu.
Ekoran itu, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun turut ditahan pada malam sama di kawasan Sepanggar bagi membantu siasatan.
Syed Lot berkata, hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu, beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas.
Katanya, antara yang dirampas ialah telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, satu bilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.-UTUSAN










