BUTTERWORTH : Seorang tukang paip didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal, minggu lepas.
Tertuduh, L. Ravinder, 40, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhamamd Faizal. Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh C. Kanagee, 41, di sebuah rumah di Taman Seri Murni, Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara pukul 9.30 pagi hingga 9.41 pagi, 4 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara sehingga 40 tahun serta dikenakan sebatan hingga 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan laporan bedah siasat, forensik dan kimia.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang bekerja sebagai pemandu van sekolah dijumpai dalam keadaan terbaring di rumahnya dengan kesan luka kelar pada leher dipercayai akibat dibunuh dengan senjata tajam.
Susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas tiga orang suspek termasuk seorang lelaki warga asing dan ketiga-tiga mereka turut direman bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dalam satu kenyataan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh suspek disebabkan perasaan cemburu.










