Kebelakangan ini, beberapa artis popular dilihat seakan berpakat pula, seorang demi seorang meluahkan hasrat mahu mengundur diri daripada industri seni. Bermula dengan Nora Danish yang secara terbuka berkongsi keinginan untuk memperlahankan langkah dalam lakonan, kemudian disusuli pula oleh Ammar Alfian yang memberi bayangan seakan sudah penat dengan liku-liku dunia glamor.
Kalau ditanya pada Cik Bunga, fenomena ini bukan berlaku tanpa sebab. Dari kaca mata Cik Bunga, industri hiburan hari ini bukan lagi seperti 10 atau 15 tahun lalu. Dulu, untuk bergelar artis, jalannya panjang, uji bakat, latihan, naik turun set penggambaran, barulah dikenali. Sekarang? Satu video tular, satu posting tajaan, sudah cukup untuk melonjakkan seseorang menjadi ‘selebriti segera’.
Lambakan pempengaruh yang masuk ke dunia lakonan dan hiburan menjadikan ruang semakin sempit. Bukan soal bakat semata-mata, tetapi soal perhatian, peluang dan nilai komersial. Produser, jenama dan stesen televisyen kini lebih cenderung memilih wajah yang sudah ada jutaan pengikut walaupun pengalaman lakonan masih hijau kerana pulangan promosi dianggap lebih pantas dan murah.
Bagi artis sedia ada yang membina nama bertahun-tahun, keadaan ini boleh terasa melelahkan. Bayangkan sudah berjuang lama, tetapi perlu berkongsi pentas dengan mereka yang ‘datang kemudian’ namun terus berada di hadapan.
Bukan mustahil timbul rasa terpinggir, apatah lagi apabila bayaran, tawaran kerja dan publisiti semakin tidak seimbang.
Belum lagi tekanan emosi, komen netizen yang tidak berlapik, kehidupan peribadi yang sentiasa diperhati, serta tuntutan untuk kekal relevan di media sosial. Untuk artis seperti Nora Danish yang sudah lama berada di puncak, mungkin timbul persoalan: ‘Sampai bila perlu berlumba dalam permainan yang sudah berubah peraturannya?’
Hasrat bersara ini mungkin bukan tanda kalah, tetapi tanda sedar diri dan menjaga diri. Ada yang memilih tenang daripada glamor, makna daripada populariti. Dan mungkin juga, ini isyarat halus bahawa industri hiburan kita sedang melalui fasa perubahan besar di mana garis antara artis dan pempengaruh semakin kabur.
Persoalannya kini, adakah industri akan mencari keseimbangan semula? Atau kita bakal menyaksikan lebih ramai artis lama mengundurkan diri, memberi laluan kepada wajah baharu yang lahir daripada algoritma? Fikir-fikirkan.










