TELUK INTAN: Aliran trafik di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka meningkat dengan 160,000 kenderaan sehari, diramal akan menggunakannya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 35 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan purata 120,000 kenderaan sehari.
Katanya, peningkatan trafik itu didorong oleh faktor cuti persekolahan dan jangkaan minggu pertama Ramadan yang jatuh pada minggu sama dengan sambutan perayaan berkenaan.
“Lonjakan trafik ini membawa satu mesej yang jelas bahawa pengguna jalan raya semakin yakin memilih WCE sebagai laluan alternatif utama di Pesisir Pantai Barat.
“WCE kini bukan lagi sekadar ‘jalan pilihan’, tetapi telah menjadi nadi penghubung penting yang membantu menyuraikan kesesakan kritikal dari laluan sedia ada,” katanya ketika berucap semasa Kempen Op Selamat Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak di Plaza Tol Teluk Intan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari; Ahli Lembaga Pengarah WCE Holdings Berhad, Datuk Hamza Taib dan Pengarah Wilayah Utara, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Muhamad Syarizal Zin Azman.
Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap optimum, beberapa persediaan rapi telah dilakukan oleh WCE.
Katanya, ia termasuk menyediakan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Taiping Selatan di Jajaran Perak selain Plaza Tol SAE dan Plaza Tol Assam Jawa di jajaran Selangor.
“Dalam usaha mengejar kemajuan teknologi, aspek kemanusiaan tetap menjadi keutamaan kami, khususnya berkaitan keselamatan penunggang motosikal. Statistik menunjukkan risiko kemalangan meningkat apabila mereka berteduh di lorong kecemasan.
“Sehubungan itu, WCE menyediakan sebanyak 52 Zon Berteduh yang dilengkapi pencahayaan solar dan terletak berasingan dari laluan utama. Kemudahan ini berfungsi sebagai ‘safe haven’ untuk penunggang berehat dengan lebih selamat,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, dari segi operasi, pihak WCE telah membuat persediaan rapi dengan mengaktifkan Lorong Simpanan (spare lane) di plaza tol laluan utama seperti Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir dan Taiping Selatan bagi melancarkan transaksi tol pada waktu puncak.
Beliau berkata, Pusat Kawalan Trafik juga akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 20 pegawai trafik dan 60 anggota peronda WCE Patrol yang ditugaskan untuk memantau aliran trafik dan memberikan tindak balas kecemasan pantas terhadap sebarang insiden di lebuh raya.
“Selain itu, seramai 230 petugas tol akan ditempatkan setiap hari di kesemua 14 plaza tol WCE yang beroperasi dengan pertambahan kakitangan sekitar 25 peratus daripada kapasiti sedia ada.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran transaksi dan pengurusan tol di lorong-lorong plaza, sekali gus mengurangkan risiko kesesakan,” katanya. – UTUSAN










