PETALING JAYA: Aliran trafik di semua lebuh raya utama di seluruh negara lancar dan terkawal dengan keadaan cuaca baik, pagi ini.
Keadaan itu disebabkan orang ramai mengambil peluang diskaun tol sehingga 50 peratus yang ditawarkan berakhir semalam.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, pergerakan itu membabitkan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur.
“Situasi sama turut berlaku di semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang.
“Ini susulan orang ramai mengambil peluang menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus yang ditawarkan kerajaan selama dua hari iaitu 14 Februari dan semalam untuk pulang ke kampung pada musim perayaan, selain cuti persekolahan selama seminggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LLM turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan dengan teliti dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
“Sila semak baki Touch N Go, Smart Tag dan RFID serta pastikan tangki minyak kenderaan diisi.
“Awasi sebarang halangan di setiap lorong digunakan dan jaga jarak selamat kenderaan, selain memandu mengikut had laju ditetapkan serta peka keadaan sekeliling,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000, laman X @plustrafik, talian LLM di 1-800-88-7752 atau laman X @llmtrafik.-UTUSAN










