Tiga daripada tujuh pelajar di Johor pulih tibi

Tiga daripada tujuh pelajar di Johor pulih tibi

AZNAN TAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga daripada tujuh pelajar yang dijangkiti wabak tuberkulosis (tibi) di negeri ini telah pulih dan sedang menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, jumlah pesakit kekal seramai 34 individu melibatkan daerah Kota Tinggi dan Pontian.

Katanya, prosedur saringan dan pelaksanaan kuarantin adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perkembangan tibi setakat ini tiada penambahan jumlah pesakit, sebaliknya tiga murid sekolah rendah di Kota Tinggi dilaporkan sudah pulih dan sedang menjalani baki tempoh kuarantin di kediaman masing-masing.

“Jadi jumlah pelajar sekolah negeri ini yang masih dijangkiti tibi hanya empat orang dan kesemuanya menunjukkan perkembangan positif, keadaan juga terkawal, jangan bimbang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Petrosains Playfarm di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, sebanyak 2,571 kes jangkitan tibi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Februari 2026.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan 229 kes atau 9.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 2,342 kes, lantas mencerminkan trend peningkatan kes penyakit berjangkit tersebut pada awal tahun ini.

Aznan berkata, ujian saringan terhad kontak rapat semua pelajar terlibat telah dibuat melibatkan ahli keluarga, rakan sekelas, guru dan kakitangan sekolah.

“Setakat ini tiada guru-guru sekolah yang dijangkiti tibi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN