PETALING JAYA: Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan sebarang bentuk usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Menurut isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu, cubaan mengaitkannya dengan pendedahan laporan oleh Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab serta menghina wartawan yang terlibat.
Na’imah turut menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai ‘melucukan’ dan tidak masuk akal.
“Dakwaan bahawa saya cuba mengganggu kestabilan atau menggulingkan kerajaan adalah sesuatu yang menggelikan hati dan mengingatkan kita kepada tuduhan lalu tentang menggulingkan kerajaan yang pernah dihadapi oleh perdana menteri sendiri, apabila beliau pernah mengisytiharkan mempunyai ‘angka yang besar’ untuk merampas kuasa.
“Tidak seperti beliau, saya tidak pernah terlibat, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Na’imah, walaupun beliau berasa teruja dengan dakwaan kononnya berada di sebalik laporan siasatan berkenaan, beliau tidak mahu mengambil kredit daripada pihak yang menjalankan kerja kewartawanan tersebut.
“Saya tidak mahu mengambil penghargaan daripada mereka yang benar-benar menggunakan kemahiran dan bakat kewartawanan untuk mendedahkan dakwaan mengejutkan yang menyelubungi ketua SPRM,” katanya.-UTUSAN










