‘Tidak kisah Sanusi nak kata apa pun kepada saya’

‘Tidak kisah Sanusi nak kata apa pun kepada saya’

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin tidak mengambil kisah terhadap ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikatakan mengandungi sindiran terhadapnya.

Malah, beliau tidak terasa terganggu setelah menonton rakaman video ucapan itu walaupun terdapat pihak yang mendakwa ucapan itu menyerang Mursyidul Am Pas itu.

“Saya ada dengar dalam video itu dia kata sikit-sikit dekat saya. Tapi saya tidak kisah orang hendak kata benda tidak betul. Saya tidak kata apa-apa pun dekat dia, sampai sekarang pun saya tidak kata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, tular rakaman video ceramah Muhammad Sanusi ketika program Liqa’ ul-Fikri Pemuda Pas Perlis pada 26 Januari lalu yang didakwa menyerang Hashim, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli parti.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan itu dan menjelaskan teguran yang disampaikan dalam program berkenaan bersifat umum tanpa ditujukan kepada mana-mana individu termasuk Hashim.

Sebaliknya, Menteri Besar Kedah itu berkata, peringatan diberikan dalam program dalaman Pas berkenaan telah disalah erti dan dimanipulasi pihak tertentu.

Katanya, tidak wajar ucapan tersebut dianggap sebagai sindiran atau serangan terhadap Hashim memandangkan ia disampaikan secara terbuka kepada ahli-ahli parti. 

Muhammad Sanusi juga kesal apabila teguran yang dibuat secara umum telah disalah tafsir dan sebahagian rakaman video dipotong bagi membentuk naratif negatif.

Katanya, tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbincangan sebenar yang bersifat tertutup dan khusus kepada ahli Pas sahaja.

Dalam pada itu, Hashim berkata, beliau ada bertemu Muhammad Sanusi baru-baru ini bagi menyampaikan ucapan tahniah atas inisiatif kerajaan negeri Kedah.

“Saya jumpa dia untuk ucap tahniah kerana memberi lebih 5,000 geran kepada rakyat Kedah. Apa yang dia buat, saya sangat bangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN