KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperkukuh agenda pendigitalan apabila melancarkan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar 5G (Intelligent Pole – IP) di pekarangan Pasar Kedai Payang, di sini, hari ini.
Pelaksanaan projek rintis itu dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam mempercepat transformasi digital dan memperkasa pembangunan infrastruktur bandar pintar menjelang 2040.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, projek tersebut adalah fasa kritikal bagi melaksanakan pengesahan teknikal terhadap keberkesanan kos dan kestabilan sistem sebelum diperluas secara berskala besar.
Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan setiap pelaburan dalam teknologi memberi pulangan nilai (RoV) yang nyata khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta kecekapan pengurusan bandar.
“Data yang dikumpul sepanjang tempoh rintis dianalisis secara komprehensif bagi menentukan keberkesanan serta kesesuaian pelaksanaan di lokasi lain pada masa hadapan, selaras hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab teknologi hijau dan bandar pintar yang mampan menjelang 2040.
“Pelaksanaan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi digital negeri dan membuka lembaran baharu dalam pembangunan infrastruktur bandar yang lebih pintar, selamat dan lestari,” katanya pada Majlis Pelancaran Struktur Tiang Pintar 5G di Pasar Payang 1.
Projek tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Colla Connecting Edge Sdn. Bhd. di bawah kerangka Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Infrastruktur Digital Pintar.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Colla Connecting Edge Sdn. Bhd., Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memodenkan infrastruktur bandar melalui integrasi teknologi pintar serta memperkukuh ketersambungan digital, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Terengganu sebagai negeri berdaya saing dalam ekonomi digital dan teknologi hijau.
Katanya, Struktur Tiang Pintar (IP) yang diperkenal bukan sekadar berfungsi sebagai tiang lampu jalan, sebaliknya menjadi hab integrasi digital yang menyokong ekosistem bandar pintar secara menyeluruh.
“Menerusi projek rintis ini, tiang lampu sedia ada yang bersesuaian dinaik taraf menjadi aset pintar dilengkapi sensor Internet Benda (IoT), capaian 5G serta sistem pemantauan berpusat,” katanya.
Kata beliau, antara ciri utama adalah penyamaran peralatan telekomunikasi bagi mengekalkan estetika bandar, sistem pencahayaan pintar yang menjimatkan penggunaan tenaga elektrik serta kamera litar tertutup (CCTV) pintar dengan teknologi pengecaman wajah dan pemantauan masa nyata bersudut 360 darjah. – UTUSAN










