Tiada pampasan kepada pemilik ladang babi

Tiada pampasan kepada pemilik ladang babi

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Ne­geri Selangor tidak akan memberi sebarang pampasan kepada pemilik ladang babi susulan penutupan ladang penternakan babi sedia ada di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, proses penutupan ladang tersebut dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya pada Julai ini.

“Dengan dasar baharu, penternakan babi tidak akan dibenarkan lagi di Selangor. Proses penutupan (ladang ternakan sedia ada) sedang berjalan dan dijangka selesai dalam masa enam bulan.

“Tiada pampasan diberi kepada penternak terlibat kecuali sekiranya berlaku pelupusan ternakan yang melibatkan Wabak Demam Babi Afrika (ASF),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan, kerajaan negeri akan meneliti kaedah terbaik membantu penternak menguruskan tanah masing-masing untuk tujuan pertanian lain atau aktiviti yang lebih bersesuaian.

“Kerajaan negeri akan melihat bagaimana kita boleh membantu penternak dalam meng­uruskan tanah mereka bagi tujuan pertanian dan sebagai­nya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi di negeri ini manakala penutupan ladang penternakan babi sedia ada akan dipercepatkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, ketetapan itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu polemik babi agar dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak.

Oleh itu, katanya, Selangor akan mengimport bekalan da­ging babi dari negeri lain bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Penutupan ini selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin tidak perkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Titah Baginda, penternakan haiwan tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran alam­ sekitar, udara yang ketara akibat bau busuk, selain berpotensi men­cemarkan sumber air sungai melalui pelepasan sisa kumbahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN