KOTA BHARU: Pas menegaskan tidak perlu ‘gencatan senjata’ dengan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tiada sebarang konflik.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, istilah tersebut seolah-olah memberi gambaran berlaku perbalahan besar antara kedua-dua parti itu.
Katanya, ia hanya melibatkan perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menangani beberapa isu berkaitan gabungan PN.
“Perkara itu adalah sesuatu yang biasa dalam sesebuah gabungan politik. Ia bukan isu besar dan tidak wajar diperbesarkan.
“Sebarang perbezaan pendapat dalam PN perlu diselesaikan melalui saluran yang betul serta mengikut peruntukan perlembagaan gabungan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang melihat sebuah gudang perniagaan terbakar di jalan Kebun Sultan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, beliau telah menghubungi Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyampaikan hasrat Pas supaya semua isu berbangkit diselesaikan secara berperaturan dan tidak dibincangkan secara terbuka di luar mesyuarat rasmi.
“Saya memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa Pas berharap semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini mengikut mekanisme sedia ada.
“Maknanya, tiada kenyataan atau keputusan dibuat di luar mesyuarat. Semua isu mesti dibawa ke dalam mesyuarat terlebih dahulu,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Whip PN berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan usaha tersebut menerima maklum balas yang positif daripada Muhyiddin.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas mengajak ‘operator’ daripada sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melaksanakan ‘gencatan senjata’ daripada terus menerus melancarkan serangan di media sosial dengan mendedahkan hal-hal sulit berkaitan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, semalam genap sebulan PN kehilangan Pengerusinya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 Januari.
-habis-










