PETALING JAYA: “Maaf, ini sudah melampau. Saya tiada sebarang hubungan peribadi dengan individu yang digosipkan.”
Demikian respons pelakon, Zara Zya tegas menafikan dakwaan dirinya sedang menjalin hubungan cinta bersama usahawan, Datuk Seri Khazrul Elzey.
Kata Zara, mereka hanyalah kenalan biasa bahkan, dirinya tidak bertanggungjawab sekiranya usahawan berkenaan sekiranya dia memiliki perasaan terhadapnya.
“Hubungan kami hanyalah sekadar kenalan biasa. Jumpa pun baru sekali.
“Jika pihak sana mempunyai perasaan, itu adalah urusan peribadi dia dan tiada kena mengena dengan saya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam hantaran lain, pelakon drama Dia Imamku itu tegas meminta usahawan tersebut berhenti membuat sebarang kenyataan yang tidak berasas dan boleh menjatuhkan nama baiknya serta keluarga.
“Saya harap dia berhenti menyebarkan naratif yang tidak tepat kerana ia menjejaskan reputasi saya serta keluarga. Saya juga tidak berminat untuk melayan gosip murahan seperti ini,” tegasnya.
Sebelum ini, tular foto memaparkan Zara bersama usahawan yang juga bekas tunang kepada pelakon, Zarina Anjoulie tersebut di media sosial.
Susulan itu, Khazrul yang memuji keperibadian Zara menerusi sebuah sesi temu bual bersama sebuah portal hiburan itu tidak menolak kemungkinan sekiranya berjodohan dengan pelakon itu.










