GEORGE TOWN : Polis mengesahkan bahawa sambutan Thaipusam di Pulau Pinang setakat ini berlangsung dengan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, sehubungan itu, orang ramai khususnya penganut Hindu serta pengunjung dinasihatkan untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan sepanjang tempoh sambutan.
Katanya, ini termasuk menghentikan semua aktiviti yang melibatkan muzik dan pembesar suara yang kuat selewat-lewatnya pukul 11 malam ini bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah khususnya dari segi ketenteraman awam.
“Kita ada lebih 1,000 anggota dan pegawai polis yang bertugas sepanjang Thaipusam ini dan mereka juga akan ditugaskan secara berperingkat dalam masa 24 jam ini bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Community Policing sempena Thaipusam 2026 di Jalan Kebun Bunga di sini, hari ini.
Jelas Azizee, walaupun sambutan Thaipusam tahun ini dijangka aman dan terkawal sehingga ke akhir, namun, pihaknya tetap menempatkan beberapa Unit Tempur Ringan (LSF) sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, Azizee memberitahu, pihaknya menganggarkan lebih 500,000 orang telah membanjiri kawasan tersebut sejak semalam dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat pada malam ini.
“Untuk pagi ini sahaja, kita lihat ada lebih kurang 200,000 orang yang datang dan kita jangka pada sebelah petang, jumlah ini akan terus meningkat kepada 500,000.
“Tapi, jumlah ini bukan statiklah, ia silih ganti,” katanya yang berharap agar orang ramai memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang sambutan berkenaan.-UTUSAN










