Ternakan seludup bernilai RM686,300 dirampas - Utusan Malaysia

Ternakan seludup bernilai RM686,300 dirampas

TERNAKAN dipercayai diseludup yang dirampas dalam Op Taring Kandang di Jalan Gerik-Baling hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Sebanyak 117 ekor kambing dan 18 ekor lembu yang dipercayai diseludup dari negeri di Pantai Timur dianggarkan bernilai RM686,300 dirampas dalam Op Taring Kandang di Jalan Gerik-Baling, di sini hari ini.

Operasi sekitar pukul 3.30 hingga 4 pagi itu dijalankan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi itu, empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun ditahan untuk siasatan.

Katanya, siasatan mendapati, kesemua tangkapan dipercayai terlibat dalam kegiatan memindahkan haiwan ternakan dari negeri pantai timur ke utara tanpa sebarang permit atau dokumen kebenaran bertulis yang sah dari JPV.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua buah kenderaan dilakukan dan mendapati terdapat sejumlah haiwan ternakan iaitu lembu dan kambing.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua haiwan ternakan itu dipercayai telah diseledup dari negara jiran melalui jalan-jalan tikus di sempadan negara,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh pemandu dan kelindan lori adalah dengan menutup bahagian belakang lori dengan kain kanvas dan hanya membuka sedikit ruang di bahagian atas lori untuk pengudaraan.

Katanya, keempat-empat lelaki itu dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut beberapa kali sejak tiga bulan yang lalu.

“Kes tersebut diserahkan kepada JPV Perak untuk siasatan mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008.

“Siasatan itu dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN