KANGAR: Ketibaan Tahun Baharu Cina memberi limpahan rezeki buat seorang warga emas dan anaknya dari Kuala Perlis di sini menerusi jualan pelbagai jenis kuih tradisional yang sinonim dengan masyarakat Tionghua.
Sejak tahun 1990-an, Tan Li Er, 65, dan anaknya, Tan Vin Shi, 41, menjual pelbagai jenis kuih seperti kuih bangkit, tat nanas, biskut kacang dan kuih bulan yang kebiasaan menjadi antara sajian pilihan menjelang perayaan itu.
Menariknya, selain kuih tradisional biasa yang sudah sinonim dengan perayaan tersebut, anak beranak itu juga menghasilkan biskut sambal udang iaitu inovasi mereka yang mendapat permintaan cukup tinggi daripada pelanggan.
Li Er berkata, biskut sambal udang itu dihasilkan selepas beberapa kali percubaan bagi mencipta kelainan dalam penghasilan juadah itu dengan gabungan tradisional bersama cita rasa Malaysia.
“Pada mulanya, saya hanya hasilkan sambal udang untuk dipasarkan buat pelanggan tapi kemudian saya dapat idea untuk hasilkan biskut dengan kombinasi rasa sambal ini.
“Mungkin orang akan pelik macam mana rasa biskut dengan sambal udang tapi setelah kami memasarkan kuih ini, ramai pihak memberi respons sangat baik sehinggakan turut laris pada setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di Kuala Perlis, semalam.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia memasarkan sekitar 500 bekas biskut sambal udang pada musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi memenuhi permintaan pelanggan dari negeri ini termasuk Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, dia menjual biskut-biskut itu secara borong memenuhi permintaan pada musim perayaan.
“Kebanyakan jualan kami secara borong dan permintaan memang begitu menggalakkan pada setiap tahun. Selain biskut sambal udang, saya turut hasilkan kuih bulan sambal udang yang turut mendapat permintaan tinggi daripada kebanyakan pelanggan kami,” katanya.
Tambah Li Er, dia juga menggunakan bahan-bahan berkualiti dalam menghasilkan kuih-kuih itu bagi memberi jaminan kepada kepuasan pelanggan. – UTUSAN











