Tahan lima individu, sindiket pecah cermin kereta tumpas

Tahan lima individu, sindiket pecah cermin kereta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pecah cermin kereta selepas menahan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan berasingan di Pasir Puteh dan Rantau Panjang di sini semalam.

Kesemua suspek masing-masing berusia 32 hingga 55 tahun itu termasuk seorang wanita warganegara Thailand ditahan pada pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu susulan siasatan terhadap satu kejadian pecah cermin kereta yang berlaku di tepi jalan tanah perkuburan Kampung Wakaf Berangan pada Jumaat lalu.

Katanya, kejadian pukul 7.30 pagi, melibatkan kerugian RM1,100.

“Serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di laluan pemeriksaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, masing-masing di sebuah rumah tanpa nombor dekat Kampung Seligi serta Kampung Gaal, Pasir Puteh.

“Hasilnya, kita telah menahan tiga lelaki, seorang wanita tempatan dan wanita warga Thailand bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohd. Yusoff memberitahu, dalam serbuan itu, polis turut merampas 18 buah telefon bimbit, beg duit (11), beg tangan dan beg galas pelbagai jenama (41), barang kemas (7), jam tangan (2), topi (3) serta dua plastik berisi kereta mainan Hot Wheels.

Katanya,dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira beserta anak kunci, sekeping kad Touch ‘n Go bersama Max Tag, satu lastik kayu, empat palam pencucuh serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk playar, spanar serta tukul turut dirampas.

“Semakan rekod mendapati tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan rekod dadah, manakala dua wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua suspek direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, hasil tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta yang berlaku di Kelantan dan Terengganu melibatkan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM32,200.

Katanya, disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN