Tabung Haji lancar #menujuistitoah bantu rakyat Malaysia tunai haji

Tabung Haji lancar #menujuistitoah bantu rakyat Malaysia tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan komitmen baharu dalam membantu rakyat Malaysia merealisasikan impian menunaikan ibadah haji menerusi program persiapan haji berstruktur, #menujuistitoah.

Program pendidikan dan penglibatan digital di seluruh negara itu bertujuan memastikan para pendeposit lebih bersedia apabila tiba giliran mereka untuk menunaikan ibadah haji.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, inisiatif #menujuistitoah memberi penekanan terhadap pengukuhan kesiapsiagaan haji secara menyeluruh meliputi aspek kewangan, rohani, fizikal dan mental.

Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan TH dalam membimbing serta menyokong para pendeposit agar lebih bersedia apabila dijemput menunaikan ibadah haji.

“Misi utama Tabung Haji adalah membantu para pendeposit merealisasikan impian haji mereka. Ibadah yang merupakan rukun Islam kelima ini menjadi impian sekali seumur hidup dan memerlukan niat yang tulus serta persediaan rapi.

“Kami berusaha melakukan yang terbaik untuk memudahkan proses ini supaya lebih lancar dan tersusun melalui pendidikan, teknologi digital serta perkhidmatan yang dipertingkatkan.

“Pendekatan ini selaras dengan usaha TH mengutamakan disiplin perancangan kewangan serta persediaan awal yang lebih terancang dan sistematik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong agenda berkenaan.

“Kami telah menambah baik serta memperbaharui laman sesawang dan platform digital TH supaya lebih mudah diakses dan mesra pengguna.

“Pengenalan Kalkulator Simpanan Haji pula membantu orang ramai merancang simpanan secara lebih realistik dan berstruktur,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN