Sumbangan syarikat bumiputera kepada KDNK sederhana

Sumbangan syarikat bumiputera kepada KDNK sederhana

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sumbangan syarikat Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih berada tahap sederhana sekitar 8.1 peratus meskipun penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara adalah besar.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penguasaan ekonomi Bumiputera tidak lagi hanya berasaskan kepada kuantiti penyertaan semata-mata, tetapi perlu berasaskan kualiti penglibatan menekankan produktiviti dan pendapatan.

Katanya, sehingga Disember 2025, populasi Bumiputera di Malaysia mencecah 21.8 juta orang atau 63.6 peratus daripada jumlah penduduk negara, sekali gus menjadikan Bumiputera komponen utama dalam struktur demografi serta tenaga kerja nasional.

“Ini menjadikan Bumiputera bukan sahaja komponen utama dalam struktur demografi negara, malah pemaju penting kepada tenaga kerja dan daya tahan ekonomi Malaysia.

“Ini menuntut tindakan yang lebih berani dan tersasar untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi, rantaian nilai strategik dan industri berintensif teknologi.

“Penekanan serius diberikan terhadap aspek penilaian keberkesanan, selain memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi melalui pendekatan yang lebih bersepadu, berfokus dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach 2026: Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera di sini.

Tambahnya, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diperkenalkan sebagai kerangka utama bagi melonjakkan pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada konsep 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan.

“PuTERA35 berteraskan tiga teras utama iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi, serta menegakkan keadilan sosial, yang diterjemahkan melalui 12 pemacu dan 132 ikhtiar merentasi kementerian dan agensi serta GLIC dan GLC.

“Kita mahu meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK sebanyak 15 peratus menjelang 2035 dan membina ekosistem yang membantu Bumiputera memecah rantaian nilai, inovasi, pemilikan aset produktif dan daya saing global.

“Hasilnya telah kita lihat; dalam tempoh setahun pelaksanaan PuTERA35, dua syarikat Bumiputera iaitu SumiSaujana Group Berhad telah berjaya disenaraikan di Pasaran ACE, dan Orkim Berhad telah berjaya disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM7,599 pada 2022 kepada RM8,220 pada 2024 manakala kadar kemiskinan menurun daripada 7.9 peratus kepada 6.6 peratus dalam tempoh sama.

“Kadar kemiskinan Bumiputera juga menurun daripada 7.9 peratus pada 2022 kepada 6.6 peratus untuk 2024. Kerajaan terus beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar Bumiputera dengan sasaran sifar peratus pada 2035 berbanding 0.1% pada 2024,” katanya.

“Kadar penyertaan tenaga buruh Bumiputera turut meningkat daripada 67.2 peratus pada 2023 kepada 67.4 peratus pada 2024 manakala kadar penyertaan tenaga buruh siswazah Bumiputera meningkat daripada 85 peratus pada 2022 kepada 86 peratus pada 2024.

“Namun, kita harus sedar, dunia bergerak pantas. Pendigitalan dan automasi menuntut peralihan ke arah pekerjaan berkemahiran tinggi dan bernilai tambah, yang memerlukan pelaburan berterusan dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN