PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Alvn, mengakui sudah tiga tahun tidak pulang ke Pulau Pinang bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
Menurut Alvn atau Alvin Chong Chean Wah, 34, keputusan ini diambil mengenangkan harga tiket kapal terbang yang mahal menjelang musim perayaan.
“Saya tidak balik kampung untuk sambut Tahun Baharu Cina tahun ini dan hanya beraya di Kuala Lumpur seorang. Tapi saya tetap beri duit belanja untuk keluarga di kampung.
“Sebenarnya sudah tiga tahun tidak balik kampung pada Tahun Baharu Cina kerana harga tiket kapal terbang mahal, lalu lintas sangat sesak walaupun kampung saya hanya di Pulau Pinang.
“Sebab itu saya fikir lebih balik kampung selepas dua atau tiga minggu selepas raya, keluarga juga sudah biasa dan bergantung juga pada jadual kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercerita mengenai pengalaman menyambut raya sendirian, Alvn tidak mempunyai sebarang persiapan yang berlebihan, cukup sekadar memastikan rumahnya dalam keadaan kemas.
“Saya cuma pastikan rumah dalam keadaan bersih dan kemas.
“Saya juga bukan jenis perlu beli baju baru setiap kali raya. Mana yang belum pakai sebelum ini, itu saya akan guna,” katanya lagi. -UTUSAN










