Sudah 12 tahun rupanya saya di Los Angeles - Yuna nyanyikan lagu eksklusif di konsert - Utusan Malaysia

Sudah 12 tahun rupanya saya di Los Angeles – Yuna nyanyikan lagu eksklusif di konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Yuna, mempersembahkan lagu yang belum diterbitkan berjudul Sky Is Red secara eksklusif pada konsert The Valour Hour di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Yuna, lagu berentak R&B itu ditulis ketika beliau berada dalam fasa penting kehidupannya, iaitu saat mempertimbangkan sama ada mahu terus menetap di Los Angeles (LA) atau pulang ke tanah air.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menetap di LA selama 12 tahun sebelum akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur dan kembali aktif bekerjasama dengan bakat-bakat tempatan.

“Saya menulis lagu ini ketika sedang berfikir sama ada mahu pulang ke Kuala Lumpur atau terus tinggal di LA.

“Rupanya sudah 12 tahun saya berada di sana. Akhirnya saya memilih untuk pulang ke tanah air, bertemu peminat serta bekerjasama dengan bakat hebat di Malaysia yang turut berkongsi pentas dengan saya hari ini,” katanya ketika konsert berkenaan, Sabtu lalu.

Lagu Sky Is Red dijangka dilancarkan pada April ini dan dipersembahkan secara eksklusif sempena konsert berdurasi hampir dua jam itu.

Dalam konsert sama, Yuna turut menyampaikan lebih 20 buah lagu hit ciptaannya, antaranya Blank Marquee, Lullabies, Terukir Di Bintang, Used To Love You, Penakut dan Decorate.

Beliau juga mempersembahkan lagu terbaharunya, Believer, yang diterbitkan oleh Olmo Zucca, komposer yang meraih perhatian global menerusi lagu Water nyanyian Tyla, pemenang kategori Best African Music Performance pada Anugerah Grammy 2024.

Antara detik yang mencuri tumpuan ialah persembahan lagu Dan Sebenarnya yang dianggap karya ikonik serta ‘anthem’ dalam kalangan peminat, selain menjadi lagu terawal yang melonjakkan namanya dalam industri muzik arus perdana.

Lagu tersebut pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2010, selain meraih gelaran naib juara Anugerah Juara Lagu 2009.

Yuna juga merupakan satu-satunya penyanyi tempatan yang menerima pengiktirafan daripada Recording Industry Association of America (RIAA) pada 2023. Selain itu, albumnya Chapters pernah disenaraikan antara 10 album R&B terbaik oleh pengkritik Billboard, Gail Mitchell.

Sejak menghasilkan album Nocturnal pada 2013, beliau tidak pernah gagal menghantar penyertaan ke Anugerah Grammy setiap tahun.

Bagaimanapun, Yuna kini mengambil keputusan untuk melepaskan impian tersebut selepas menyedari cita-cita itu tidak lagi sehaluan dengan nilai dan prinsip yang dipegang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN