SEREMBAN: Projek pembinaan dan naik taraf Stesen Keretapi Seremban di sini dijangka siap tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerja-kerja berkenaan sedang giat dilaksanakan dan seperti dijangka akan menyebabkan berlaku kesulitan kepada pengguna di stesen berkenaan sepanjang tempoh pembinaan.
“Kita memang cuba buat yang terbaik tetapi ambil masa setahun lagi untuk menyiapkan stesen ini. Menjelang tahun depan kita harap kita dapat memberi keselesaan kepada penduduk di Seremban,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Edaran Pek Cenderahati Kepada Penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sempena Tahun Baru Cina 2026 di Stesen Keretapi Seremban hari ini.
Projek pembangunan Stesen Keretapi Seremban merupakan skop di bawah projek Menaik taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
Anthony Loke berkata, projek naik taraf landasan di laluan antara Seremban dan Kuala Lumpur ketika ini menyebabkan perjalanan tren komuter mengambil masa lebih lama daripada kebiasaan.
Tambahnya, terdapat beberapa bahagian landasan yang terpaksa menggunakan satu trek sahaja buat sementara waktu sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan tren apabila perlu menunggu tren lain melepasi laluan berkenaan.
“Saya tahu ramai warga Seremban mengadu perjalanan komuter ke Kuala Lumpur yang sebelum ini lebih singkat kini mengambil masa sehingga 1 jam 45 minit malah ada kalanya mencecah dua jam.
“Bagaimanapun, kita sedang meneliti kaedah untuk mempercepatkan proses pembinaan dan dalam pada masa sama memastikan perkhidmatan kepada pengguna tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN











