PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan itu dijalankan selepas beberapa aduan dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian berkenaan dibuat secara tergesa-gesa serta berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.
Menurut sumber, SPRM telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian tersebut daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari lalu selepas menerima aduan berkaitan.
Katanya, siasatan tertumpu kepada kemungkinan berlaku ketirisan dana kerajaan membabitkan peruntukan besar berjumlah RM1.1 bilion.
“Berdasarkan maklumat awal, cadangan perjanjian ini dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun ia tetap dimeterai secara tergesa-gesa.
“Perkara ini akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat,” katanya di sini semalam.
Sumber itu turut memaklumkan, beberapa individu dipercayai telah dilantik memegang jawatan tinggi dalam syarikat terbabit selepas meninggalkan kementerian berkaitan.
“Situasi ini menimbulkan persoalan konflik kepentingan yang wajar diberikan perhatian serius oleh SPRM.
“Tindakan lanjut termasuk memanggil beberapa saksi, antaranya Ketua Setiausaha kementerian terlibat bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan perjanjian tersebut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Pada Jumaat lalu, SPRM memaklumkan dokumen yang dikemukakan oleh tiga NGO berhubung dakwaan melibatkan seorang bekas menteri perlu diteliti terlebih dahulu sebelum kertas siasatan dibuka.
Dakwaan penyelewengan pelaburan bernilai kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan seorang bekas Menteri Kanan di sebuah kementerian kini masih dalam penelitian pihak SPRM.-UTUSAN










