SPRM kenal pasti 'grey area' DBKL, potensi buka ruang rasuah

SPRM kenal pasti ‘grey area’ DBKL, potensi buka ruang rasuah

HANNAH Yeoh (tengah) menyaksikan MoU kerjasama strategik antara Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dengan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berpotensi membuka ruang kepada perlakuan rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kelemahan itu dikenal pasti hasil semakan SPRM susulan kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan suruhanjaya berkenaan bagi memperkukuh tadbir urus pentadbiran.

Menurutnya, antara isu utama yang dikesan adalah SOP yang tidak jelas dan mempunyai ruang tafsiran berbeza, khususnya melibatkan pengurusan lesen dan tindakan penguatkuasaan.

“Selalunya apabila SOP tidak jelas, ‘grey area’ ini yang membuka ruang untuk rasuah berlaku. Sebab itu apabila SPRM mengemukakan cadangan penambahbaikan, kita akan laksanakan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Tambah beliau, SOP yang telah diperkemas itu akan didedahkan kepada orang awam bagi memastikan semua pihak memahami proses permohonan lesen dan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran.

Dalam pada itu, Hannah menegaskan kerjasama dengan SPRM bukan bertujuan mencari kes semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada membaiki kelemahan sistem dan prosedur bagi mencegah rasuah daripada berlaku.

Jelasnya, antara langkah penambahbaikan yang diambil termasuk penetapan SOP baharu berkaitan pengeluaran dan pembatalan lesen, khususnya melibatkan tapak bazar Ramadan, bagi mengelakkan keputusan dibuat oleh individu.

“Keputusan pembatalan lesen tidak lagi dibuat secara individu, sebaliknya melalui jawatankuasa khas supaya proses itu lebih adil dan telus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN