PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat semula dakwaan kononnya Opcom Sdn Bhd (Opcom) mendapat rundingan terus bagi pembekalan dan pemasangan fiber optik kabel bernilai RM214 juta.
Mendedahkan perkara itu, Muhammad Fazreen Farhan Rozlan dari Pertubuhan Sukarelawan Warga Kota Kuala Lumpur berkata, isu ini telah lama dibangitkan namun, tiada apa-apa tindakan dilakukan setakat ini.
Katanya, beliau hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini bagi membuat laporan mengenai perkara itu dan memohon kes itu dibuka semula.
“Projek berkenaan dipercayai telah dibuat secara rundingan terus dan telah diterima oleh Opcom.
Ini cerita lama yang masih membelenggu kami.
“Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk memohon pihak SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap syarikat yang terlibat.
“Kami percaya SPRM adalah badan penguatkuasa kerajaan yang berintegriti dan berwibawa untuk menyiasat perkara ini sama ada wujud salah guna kuasa, elemen rasuah atau sebarang konspirasi yang menghalalkan cara agar projek tersebut diberikan secara rundingan terus kepada syarikat itu sehingga meraih keuntungan jutaan ringgit,” katanya.
Katanya, pihaknya memohon agar siasatan dilaksanakan dengan kadar segera supaya masyarakat dapat mengetahui perkara sebenar dan ketelusan dapat ditegakkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023 mendakwa Telekom Malaysia Bhd (Telekom) pernah mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Surat berkenaan dikatakan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003 yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom. – UTUSAN









