PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan serta kesinambungan operasi sistem rel bandar negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan, inisiatif itu mencerminkan kerjasama strategik antara sektor pengangkutan awam dan pertahanan negara bagi memastikan infrastruktur kritikal sentiasa berada pada tahap selamat serta beroperasi secara optimum.
Katanya, penubuhan berkenaan bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan operasi rel, malah turut menyokong keupayaan tindak balas kecemasan, pemulihan perkhidmatan serta perlindungan aset pengangkutan awam sekiranya berlaku gangguan atau krisis.
“Skuadron ini ditempatkan di bawah struktur 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD dan dianggotai sepenuhnya anggota Askar Wataniah yang mempunyai kepakaran profesional dalam bidang rel, kejuruteraan serta operasi pengangkutan.
“Keupayaan ini amat signifikan dalam memastikan kesiapsiagaan sistem rel negara sentiasa terjamin termasuk menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional,“ katanya dalam ucapan Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD, Askar Wataniah, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.
Skuadron itu dianggotai 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah terpilih berdasarkan kepakaran, pengalaman dan latar belakang teknikal berkaitan, sekali gus membolehkan pasukan itu berfungsi sebagai pasukan pakar berkeupayaan tinggi.
Dalam situasi kecemasan atau krisis, skuadron berkenaan boleh digerakkan bagi membantu pemulihan operasi rel, memberi sokongan kejuruteraan serta mengurus lokasi kejadian bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.
Amir berkata, penubuhan skuadron berkenaan sebagai usaha memperkukuh sinergi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sektor awam, khususnya dalam usaha memastikan tahap keselamatan serta ketahanan infrastruktur pengangkutan awam negara terus terpelihara.
“Penubuhan skuadron ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebolehoperasian dan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam strategik sentiasa berada di tahap optimum, bukan sahaja sewaktu aman malah ketika berhadapan situasi krisis atau ancaman keselamatan.
“Kerjasama ini merupakan manifestasi pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Penubuhan skuadron ini dijangka akan menjadi penanda aras kepada kerjasama strategik antara sektor pertahanan dan pengangkutan awam dalam memperkukuh daya tahan serta keselamatan negara,” katanya.-UTUSAN










