Agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara terus memacu momentum melalui kerjasama strategik melibatkan kepimpinan tertinggi Kolej Vokasional (KV) dari Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Politeknik Ungku Omar (PUO), baru-baru ini.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Perkapalan Politeknik Ungku Omar Huzaifah Ghazali (baju hijau), membawa delegasi Kolej Vokasional melawat ke Workshop 2 – Stroke Diesel.Lawatan profesional yang disertai seramai 42 orang delegasi berimpak tinggi, terdiri daripada pengarah, timbalan pengarah, dan ketua unit kualiti, ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam menyelaraskan standard kecemerlangan graduan teknikal di antara peringkat menengah dan pengajian tinggi.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional/Sekolah Menengah Teknik Zon Selangor/Wilayah Persekutuan (WPKL), Ahmad Abd Razak.
Kehadiran mereka disambut oleh Timbalan Pengarah Akademik, Norman Zamri bersama ketua-ketua jabatan dan unit PUO.
Fokus lawatan tersebut adalah sebagai penanda aras terhadap ekosistem pembelajaran berteknologi tinggi di PUO.
Delegasi diberikan taklimat eksklusif mengenai pengurusan Centre of Technology (COT), Centre for Graduate Studies (CGS), serta Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (CDLM) yang menjadi nadi kepada inovasi di politeknik tersebut.

“Sinergi antara Kolej Vokasional dan Politeknik adalah kunci utama dalam memastikan tiada ‘mis-match’ atau ketidakpadanan kemahiran apabila pelajar beralih daripada peringkat KV ke institusi yang lebih tinggi,” ujarnya.
Delegasi turut dibawa meninjau fasiliti utama yang menjadi kebanggaan PUO, antaranya:
* Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP): Melihat pendedahan teknologi maritim yang unik dan kompetitif.
* Jabatan Kejuruteraan Mekanikal: Meninjau penggunaan jentera dan simulasi industri terkini.
* Apple Educator di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK): Mengamati bagaimana ekosistem digital Apple diintegrasikan dalam melahirkan graduan mahir IT yang memenuhi kriteria global.

Lawatan tersebut secara tidak langsung memperkukuhkan kepercayaan ibu bapa dan industri bahawa aliran TVET di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini bergerak seiring dalam satu ekosistem yang koheren.
Kejayaan lawatan profesional itu turut didorong oleh sokongan bersepadu daripada Unit Komunikasi Korporat, Unit Khidmat Pengurusan, serta Unit Pembangunan Instruksional dan Multimedia (UIDM).
Komitmen berkenaan bukan sahaja bagi memastikan kelancaran agenda lawatan, malah berperanan penting dalam memelihara imej korporat PUO sebagai institusi TVET perdana yang sentiasa mampan dan progresif.
Sinergi TVET ini dijangka mempercepatkan proses melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja memiliki sijil, malah mempunyai kebolehpasaran yang tinggi selaras dengan aspirasi TVET negara.
PUO merupakan institusi TVET pertama di negara ini yang komited menyediakan akses pendidikan teknikal berkualiti tinggi dan diiktiraf peringkat antarabangsa. – UTUSAN










