PUTRAJAYA: Satu sindiket membekalkan pekerja asing yang terlibat dalam penipuan kuota golongan itu dikenali sebagai Badul berjaya ditumpaskan menerusi Op Serkap, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan hasil maklumat risikan, pasukan operasi menyerbu sebuah premis yang terletak di tingkat dua bangunan kedai di Jalan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Katanya, seramai sembilan individu berumur antara 26 hingga 61 tahun telah ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warganegara Bangladesh dan satu wanita warganegara Indonesia.
“Selain itu, dua saman kepada saksi telah dikeluarkan kepada warga tempatan yang bekerja di syarikat tersebut bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati syarikat terbabit telah menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan syarikat sendiri.
“Ia dengan cara menjual, memindahkan dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, setiap urusan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi dan pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, syarikat terbabit turut dipercayai mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun.
“Modus operandi sindiket ini turut merangkumi penyediaan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai helah sekiranya mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan.
“Selain itu mereka menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap oleh pihak berkuasa dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli,” katanya.
Katanya, sindiket ini turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu, tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ia mencerminkan satu bentuk penyalahgunaan sistem imigresen negara secara terancang yang bukan sahaja menindas pekerja asing tetapi turut mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara.
Hasil penggeledahan telah menemui sebanyak 22 pasport Indonesia, 20 pasport Bangladesh, lima pasport Pakistan dan satu pasport India. Turut disita, 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 keping kad CIDB, wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses permohonan pekerja asing secara tidak sah.
Kesemua warganegara asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN










