Sindiket aktif jual arak tiruan di Senai tumpas, rampasan bernilai RM1.67 juta

Sindiket aktif jual arak tiruan di Senai tumpas, rampasan bernilai RM1.67 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Satu sindiket arak yang aktif menjual arak tidak bercukai khususnya kepada masyarakat asing di sekitar daerah ini sejak Ogos lalu, tumpas apabila empat ahlinya ditahan dalam tiga serbuan berasingan, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan dijalankan pada 3 Februari lalu dengan seorang lelaki tempatan dan tiga individu termasuk seorang wanita Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun, ditahan.

Menurut beliau, serbuan itu turut melibatkan rampasan pelbagai jenis arak jika termasuk cukai bernilai RM1.5 juta.

“Keempat-empat suspek ditahan adalah pekerja yang terlibat dalam pembungkusan dan pengedaran arak kepada kedai-kedai runcit serta pembeli khususnya dalam kalangan warga asing yang bekerja di negeri ini.

“Setiap botol dijual pada harga antara RM50 hingga RM60, menjadikannya agak murah dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Senai, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, antara dirampas termasuk tiga tong berisi 200 liter pati alkohol; tiga tong berisi antara 170 hingga 500 liter cecair arak tiruan telah dibancuh; 617 kotak arak pelbagai jenama; segulung pelekat kastam disyaki palsu serta satu tong berisi 7 liter pewarna perisa karamel.

“Selain arak dan bahan-bahan pembungkusan lain, polis turut merampas sebuah van bernilai anggaran RM80,000. Jumlah keseluruhan rampasan menerusi operasi ini bernilai RM1.67 juta.

“Kesemua suspek direman selama sembilan hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Ab. Rahaman berkata, pihaknya akan mempergiat usaha membanteras kegiatan sindiket arak tiruan dengan melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Dalang sindiket ini telah kita kenalpasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan peminumnya selain merugikan negara daripada sudut pungutan cukai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN