KUANTAN: Nasib enam beradik di Cherating di sini yang membesar tanpa dokumen pengenalan diri mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberi komitmen membantu memudahkan proses pendaftaran mereka.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, usaha itu susulan lawatan bersama JPN dan Ketua Unit Pembangunan Wanita Pahang, Mazlina Mohamad Lazim ke rumah keluarga tersebut.
Katanya, pertemuan itu susulan maklumat sahabatnya, Mohamad Ramdhan Ethanieal Shahzuan Hamid tentang nasib dan kesulitan yang dialami enam beradik tersebut.
“Semua enam beradik terbabit tidak pernah bersekolah dan terpinggir daripada bantuan kerajaan berikutan ketiadaan kad pengenalan, termasuk seorang daripada mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
“Situasi ini sangat menyentuh perasaan kerana mereka menanggung kesukaran hidup sekian lama hanya disebabkan tiada dokumen pengenalan diri. Namun, syukur ke hadrat Ilahi, kehadiran JPN membawa cahaya di hujung terowong.
“JPN memberi komitmen membantu memudah dan mempercepat proses pendaftaran mereka selepas prosedur dipatuhi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, disebabkan tidak memiliki kad pengenalan, enam beradik di Cherating terpaksa membesar dalam keadaan serba kekurangan dan terpinggir daripada sistem pendidikan serta bantuan kerajaan.
Nik Mohd. Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cherating, Ahmad Nizam Abdul Ghani dan semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu keluarga berkenaan.
Beliau berharap urusan itu dipermudah agar kesemua enam beradik terbabit dapat menikmati hak sebagai warganegara dan menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.-UTUSAN










