KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka sudah dilengkapkan dan masih menunggu laporan daripada agensi berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata, pihaknya sedang melengkapkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkembangan kes berkenaan.
“Kita sebenarnya sudah melengkapkan siasatan dan kini menunggu laporan daripada agensi-agensi berkaitan.
“Jika ada perkembangan, kita akan memaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akbar Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai kes rompakan di Alor Gajah, Melaka yang didakwa mempunyai modus operandi hampir sama dengan kejadian di Durian Tunggal Mohd. Khalid berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang kaitan.
“Isu-isu seperti ini memang kita lihat berlaku di sana sini dan pihak polis berusaha mengekang supaya ia tidak berterusan.
“Siasatan dijalankan secara berterusan dan ada ketika kita cuba mengaitkan satu kes dengan kes yang lain, namun setakat ini siasatan masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN










