PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dicadangkan menganggotai jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dalam hantarannya di Facebook menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan salah laku membabitkan Azam.
Namun, beliau memberikan dua cadangan bagi penambahbaikan terhadap jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu supaya siasatannya menyeluruh, telus dan bebas.
“Saya ingin mengemukakan dua cadangan iaitu skop siasatan diperluaskan untuk merangkumi isu “mafia korporat” yang merupakan isu jauh lebih besar berbanding isu pegangan saham Azam Baki.
“Keduanya, keanggotaan jawatankuasa khas itu diperluaskan kepada lima orang dengan memasukkan seorang hakim bersara yang dihormati. Saya mencadangkan Tengku Maimun dan seorang tokoh yang dihormati daripada masyarakat sivil (pemilihannya saya serahkan kepada pertubuhan masyarakat sivil untuk mencadangkan),” katanya hari ini.
Semalam, media melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham oleh Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata, turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat. Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya.
Pada hari sama, lapan Ahli Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli termasuk Wong mendesak mendesak kerajaan menggantung tugas Azam Baki susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg.
Penggantungan tugas itu bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh, bebas dan telus dapat dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan yang dilaporkan media antarabangsa tersebut.
Kelapan-lapan Ahli Parlimen tersebut adalah Rafizi; Wong; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Tar Hing dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan. – UTUSAN










