DI sebalik kehidupan glamor yang sering dipaparkan, hakikatnya golongan selebriti dan artis juga memikul ujian yang berbeza.
Itu juga yang diakui oleh pelakon, Hannah Delisha, yang kini melalui fasa kehidupan yang cukup menguji kesabarannya terutama dalam soal belajar menerima bahawa belum tiba rezekinya untuk menimang cahaya mata sendiri.
Dalam nada yang tenang namun sarat emosi, Hannah mengakui bahawa dia tidak pernah lari daripada persoalan zuriat setiap kali diaju pertanyaan tentang itu.
Namun baginya, setiap ketentuan Tuhan datang dengan hikmah yang tersendiri.
“Saya rasa setiap orang ada ujian masing-masing. Ada yang diuji dengan kesihatan, ada yang diuji dengan kewangan, ada yang diuji dengan keluarga dan mungkin untuk saya, pada waktu ini, ujian saya adalah tentang zuriat. Tapi saya percaya, semuanya sudah ditentukan. Apabila sampai waktu yang tepat, insya-Allah, ia akan datang,”katanya.
Hannah tidak menafikan, sebagai manusia, perasaan sayu dan ternanti-nanti itu tetap hadir. Namun dia memilih untuk tidak terlalu membebankan diri dengan tekanan.
“Saya bukan jenis yang terlalu memaksa diri. Saya tidak mahu sampai satu tahap saya terlalu ‘all out’ untuk sesuatu perkara. Saya lebih selesa untuk jaga diri, jaga kesihatan dan serahkan selebihnya kepada Allah. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau belum, mungkin belum masanya,” ujarnya.
Selain itu, sebagai seorang wanita yang pernah melalui pengalaman keguguran sebelum ini, Hannah juga mengakui, dia kini lebih berhati-hati dalam merancang kehidupan, terutama dalam memastikan dirinya tidak terlalu penat dengan komitmen kerja.
“Pengalaman sebelum ini mengajar saya. Waktu itu, jadual saya sangat padat. Jadi kali ini, saya memang lebih berhati-hati. Kalau Allah kurniakan lagi rezeki itu, saya mahu berada dalam keadaan yang lebih bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.
“Dua, tiga tahun sebelum ini saya sibuk dengan penggambaran sepanjang Ramadan. Memang penat. Sampai satu tahap, rasa macam tak ada kehidupan sendiri. Kita puasa, tapi nak buat ibadah pun rasa macam bergelut juga. Jadi tahun ini saya memang nak rehat. Saya nak rasa Ramadan itu sendiri, nak betul-betul hayati,” katanya.
Walaupun memilih untuk berehat daripada dunia lakonan buat sementara waktu, Hannah tetap sibuk menguruskan perniagaannya.
Namun baginya, kesibukan itu berbeza kerana waktunya lebih fleksibel dan memberi ruang untuk dirinya menikmati kehidupan.
“Kalau shooting, kita dari pagi sampai malam di set.Apabila balik, suami sudah tidur. Apabila bangun pagi, dia pergi kerja. Jadi memang susah nak luangkan masa bersama. Sekurang-kurangnya sekarang, saya ada masa dengan keluarga dan suami.
“Kadang-kadang, ada juga rasa kosong itu apabila kita tak dapat jumpa pasangan. Tapi lama-kelamaan, kita belajar untuk faham. Kita kena terima keadaan masing-masing. Itu yang penting dalam perkahwinan,” katanya.
Selain itu, Hannah juga percaya setiap orang akan melalui fasa keletihan, termasuk mereka yang berada dalam industri seni.
“Tak ada kerja yang tak penat. Semua orang penat dengan cara masing-masing. Cuma ujian kita berbeza-beza. Kadang-kadang orang nampak kita di luar, nampak macam semuanya baik. Tapi sebenarnya, kita pun ada perjuangan sendiri,”ujarnya ringkas.










