PETALING JAYA: “Semoga ada keajaiban buatmu anak, Andre Mikhail.”
Demikian kata pelakon Amyza Aznan yang kini hanya menanti keajaiban berlaku memandangkan kondisi kesihatan anaknya, Andre Mikhail semakin rumit susulan prosedur rawatan dilaluinya hari ini tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang.
Menurut Amyza, prosedur tersebut gagal dijalankan kerana terdapat ketumbuhan yang aktif sehingga mengganggu fungsi paru-paru anaknya.
“Tak tahu nak cakap apa, tidak jadi sedut air sebab tiada air dalam paru-paru. Kata pakar, bukan air tapi saiz ketumbuhan yang membesar dan menyebabkan paru-paru kanan tidak berfungsi dengan baik.
“Nak tahu berapa saiz ketumbuhan dan semuanya kena tunggu giliran MRI (pengimejan resonan magnet) lagi sebulan,” katanya.
Sebelum itu, Amyza dalam sebuah hantaran di Instagram Story (Igs) memberitahu saiz ketumbuhan pada paru-paru Andre sudah mengecut namun, tidak bersesuaian untuk menjalani proses pembedahan.
“Prosedur membuang air di paru-paru kanan, bukan membuang ketumbuhan. Ketumbuhan masih belum kecut untuk proses pembedahan.
“Saiz dari 18 sentimeter kali terakhir proses CT scan (pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer) hanya mengecut ke 14 sentimeter sahaja,” jelasnya.
Pun begitu, pelakon drama Rindu Kasih itu memohon orang ramai mendoakan agar urusan anak lelakinya itu berjalan dengan lancar.
“Dengan rendah hati ingin memohon doa kalian buat anakanda saya Andre Mikhail Khairil Izhar yang akan menjalani prosedur rawatan tumornya.
“Hanya Allah SWT yang membalas segala doa kalian, “jelasnya.
Pada 15 Februari 2025, Amyza mengesahkan Andre menghidap kanser paru-paru tahap tiga selepas doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan ketika menjalani rawatan di Hospital Ampang.










