SHAH ALAM: Kerajaan Selangor komited memastikan proses pengeluaran lesen penjaja dan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat dipendekkan kepada tempoh 24 hingga 48 jam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi pentadbiran bagi memudahkan urusan penjaja serta mengurangkan kerenah birokrasi.
“Antara reformasi yang kita mahu laksanakan tahun ini ialah mempercepatkan pengeluaran lesen penjaja dan lesen perniagaan, kalau boleh dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
“Langkah ini bagi mempermudah penjaja mencari rezeki tanpa perlu melalui proses yang terlalu panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kit dan Permit Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, bazar Ramadan di Selangor terus memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi apabila merekodkan nilai transaksi hampir RM668 juta tahun lalu.
Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah tersebut adalah hasil transaksi kira-kira 15,000 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri.
“Data tahun lalu menunjukkan Selangor mempunyai kira-kira 15,000 peniaga bazar Ramadan dan jumlah transaksi yang direkodkan mencecah hampir RM668 juta.
“Maknanya, bazar Ramadan bukan sahaja menjadi persiapan untuk berbuka puasa, malah membentuk rantaian bekalan ekonomi yang sangat memberangsangkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), kerajaan negeri, PBT dan Agrobank tahun lalu turut merekodkan transaksi digital kira-kira RM7 juta melibatkan 1,411 lot bazar yang ditawarkan menerusi Platform Selangor (PLATS).
“Tahun ini jumlah lot akan ditambah dan pelaksanaannya diperluaskan ke semua PBT dengan mengenal pasti 16 lokasi di seluruh negeri. Secara keseluruhan, kerjasama PLATS bersama 12 PBT di 16 lokasi ini dianggarkan melibatkan 2,400 peniaga,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif itu bukan sahaja menyediakan ruang niaga dan kemudahan kepada peniaga, malah memperluas penggunaan transaksi digital selaras agenda Selangor sebagai negeri pintar.
“Apabila kita menyebut Selangor sebagai negeri pintar, ia mesti diterjemahkan dalam bentuk amalan dan budaya masyarakat.
“Saya lihat dari tahun ke tahun, jumlah transaksi digital semakin meningkat dan kesediaan masyarakat juga semakin baik,” katanya.-UTUSAN










