PETALING JAYA: UMNO akan menolak agenda Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang disifatkan tindakan politik berisiko merugikan rakyat, selagi parti itu berada dalam kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, dari sudut pengurusan awam, pelaksanaan pilihan raya PBT akan menuntut peruntukan dana yang besar.
Katanya, dana itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam, penyelenggaraan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Mengalihkan sumber awam kepada proses politik tambahan bukanlah satu keutamaan yang rasional dalam keadaan ekonomi dan fiskal semasa.
“Lebih membimbangkan, kuasa terhadap pembangunan bandar dan pengurusan hasil cukai akan terdedah kepada salah guna kuasa serta konflik kepentingan.
“Bandaraya seperti Kuala Lumpur telah membangun dengan pesat dan terancang, seiring dengan bandar-bandar utama dunia tanpa memerlukan pilihan raya PBT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, model pentadbiran sedia ada telah terbukti mampu memastikan kestabilan, kesinambungan dasar dan kecekapan pelaksanaan.
Oleh itu, katanya, tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi lapisan kuasa politik yang bukan sahaja berisiko menimbulkan pertindihan bidang kuasa, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan dalam sistem pentadbiran sedia ada.
“Lebih serius, agenda ini berpotensi membuktikan bahawa kaum Melayu akan terpinggir dan diketepikan, khususnya di kawasan bandar.
“Struktur demografi dan realiti politik semasa menunjukkan bahawa pilihan raya PBT boleh membuka ruang kepada dominasi satu pihak, sekali gus menafikan prinsip keadilan sosial dan keseimbangan antara kaum,” katanya.
Tambah Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu, kebimbangan disuarakannya bukan bersifat spekulatif, sebaliknya berpaksikan analisis realistik terhadap landskap politik semasa.
“Jika dibiarkan, ia berisiko menghakis peranan masyarakat Melayu dalam menentukan hala tuju pembangunan bandar serta pengagihan sumber secara adil dan inklusif. Hari ini, kerajaan yang mentadbir bukan milik mana-mana parti tunggal.
“Ia adalah sebuah kerajaan campuran, dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebahagian daripadanya. Selagi BN berada dalam kerajaan, agenda Pilihan Raya PBT ini tidak akan dibenarkan untuk dilaksanakan. DAP perlu menerima hakikat ini dan melupakan hasrat tersebut buat masa ini,” katanya. – UTUSAN










