PUTRAJAYA: Sebarang pertikaian hak milik atau bantahan terhadap pembinaan di atas tanah yang didakwa diceroboh perlu direkodkan secara rasmi sama ada melalui laporan polis atau notis guaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemilik tanah yang berdepan isu pencerobohan dinasihati untuk mengikut saluran undang-undang dan tidak bertindak sendiri sehingga boleh mencetuskan implikasi lebih besar.
“Saya agak sukar untuk mengulas kerana jika tuan punya tanah mengambil tindakan sendiri, mungkin akan wujud implikasi atau tindakan balas dari sudut undang-undang. Kita juga tidak mengetahui keseluruhan cerita di sebalik sesuatu pertikaian. Mungkin nama A tertera, tetapi hak milik sebenar milik B. Mungkin juga pernah diberikan kebenaran sebelum ini yang tidak direkodkan, atau terdapat bayaran tertentu yang dibuat.
“Sebab itu kita perlu percaya kepada sistem mahkamah. Pada pandangan saya, apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah pendaftaran bantahan tersebut mesti dibuat secara rasmi dan direkodkan. Sama ada melalui laporan polis atau notis peguam, ia perlu “on record”.
“Jika tidak, keadaan akan menjadi seperti A kata ya, B kata tidak. Saya yakin sistem kita masih tertib, tetapi setiap pihak perlu mengikut proses dan saluran yang betul,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Dasar Peluang Kedua – Pelepasan Fast Track 2026 di sini hari ini.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung beberapa ketetapan langkah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari iaitu pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya proses pendakwaan dimulakan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Bagaimanapun, peguam, Haniff Khatri yang juga ketua sementara Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) menegaskan pemilik tanah tidak perlu memperolehi apa-apa perintah mahkamah sebelum melaksanakan perobohan struktur binaan haram di atas tanah milik mereka.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, tindakan merobohkan binaan tanpa melalui proses perundangan boleh mengundang risiko tindakan balas serta membuka ruang kepada pertikaian undang-undang yang lebih rumit.
“Kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri kerana tindakan sedemikian dibimbangi boleh menjadikan keadaan lebih sensitif. Isu-isu seperti ini banyak berkait dengan soal kepercayaan dan agama, yang tahap sensitivitinya berbeza dan lebih tinggi. Justeru, dalam isu yang sensitif sebegini, ia perlu diselesaikan melalui kaedah dan saluran yang betul serta teratur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang terus memperkukuh pendekatan mediasi sebagai kaedah alternatif bagi penyelesaian pertikaian.
Menurutnya, mediasi bukan sahaja mampu mempercepatkan penyelesaian konflik, malah dapat mengurangkan kos berbanding membawa kes terus ke mahkamah.
“Dia boleh mediasi dulu sebelum daftar kes. Ini pun salah satu yang kita dapat bantulah. Kalau
tidak apabila ada konflik, dia pergi balai, dia pakai peguam, konflik itu berterusan. Kalau ada mediasia, kita mungkin boleh cari jalan tengah, bayar ganti rugi ke, nak selesai dan sebagainya,” ujarnya.-UTUSAN










