KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer berbakat besar, Amylea Azizan, 39, tidak terkesan apabila dilabelkan sebagai anak emas kepada syarikat penerbitan, Radius One hanya disebabkan karya yang dihasilkannya sering dipilih menjadi lagu latar untuk drama yang diterbitkan syarikat tersebut.
Amylea terbuka dilabel sedemikian kerana dia bekerja keras dan sentiasa menghasilkan karya terbaik bagi syarikat berkenaan.
“Tentulah saya ini anak emas mereka, saya tidak menidakkannya. Tapi harus diingat saya tidak pernah culas dalam memberikan hasil kerja yang terbaik dan tidak pernah sekalipun saya serahkan lagu yang bersifat asal buat kepada mereka.
“Dan saya tidak nafikan yang bukan mudah untuk memuaskan kehendak pengasasnya, Shahrulezad Mohameddin. Ada sahaja demo lagu saya yang ditolak, tapi saya tidak pernah ambil enteng, malah selalu mencadangkan lagu yang lain.
“Shahrulezad sendiri mengakui yang lagu-lagu saya ini sebati dengan drama-drama yang diterbitkan syarikatnya. Kami sudah bekerjasama selama 18 tahun, tipulah kalau tiada keserasian antara kami,” katanya Utusan Malaysia.
Amylea dalam masa yang sama menegaskan yang dia bersikap terbuka sekiranya Radius One memilih karya komposer lain sebagai lagu latar kepada drama yang diterbitkan syarikat berkenaan.
“Saya tidak pernah ambil jalan mudah, malah seperti komposer lain, saya melalui proses yang mereka tetapkan, bermula dengan mencadangkan lagu-lagu untuk penilaian mereka.
“Saya anggap satu rezeki apabila lagu saya sering menjadi pilihan dan kemudian sering ditawarkan menghasilkan lagu untuk Radius One. Dan saya juga terbuka kalau mereka memilih lagu yang diberikan komposer lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amylea mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati Shahrulezad yang dianggapnya cukup teliti soal pemilihan sesebuah lagu.
“Dia jujur dan berterus terang jika karya yang saya cadangan tidak serasi dengan kehendaknya. Dia tidak pernah bersikap ‘asal ambil’ karya saya hanya disebabkan saya Amylea Azizan.
“Dan saya tidak pernah mahu mengambil kesempatan, saya bekerja keras dan serahkan hasil yang terbaik,” kongsinya lagi.-UTUSAN










