Saya dipecat tanpa ketelusan, tidak diberi ruang bela diri - Zulkifli Bujang - Utusan Malaysia

Saya dipecat tanpa ketelusan, tidak diberi ruang bela diri – Zulkifli Bujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang mendakwa, pemecatan keahlian beliau oleh Lembaga Disiplin parti dibuat tanpa melalui proses disiplin yang telus dan adil.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memberitahu, pihaknya menerima surat panggilan menghadiri sidang Lembaga Disiplin ketika berada di luar negara atas urusan yang telah dijadualkan lebih awal.

“Sejurus menerima surat itu, saya telah pohon satu tarikh baharu ditetapkan bagi membolehkan saya pulang ke tanah air dan hadir memberikan penjelasan secara bersemuka.

“Namun, saya dimaklumkan telah dipecat petang Khamis lalu menerusi sepucuk surat yang dihantar Lembaga Disiplin parti melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, beliau tidak diberikan sebarang peluang untuk membela diri sebaliknya terus diambil tindakan tanpa mengikut prosedur ditetapkan perlembagaan parti sendiri.

“Perkara ini menimbulkan persoalan serius terhadap ketelusan serta integriti proses disiplin parti, selain melihat Lembaga Disiplin seolah-olah digunakan bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

“Perkembangan ini turut menguatkan persepsi bahawa wujud pengaruh kartel yang mengawal keputusan strategik parti demi mencapai tujuan politik tertentu,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama beberapa lagi kepimpinan parti itu diperingkat bahagian seluruh negara, dipecat didakwa kerana melanggar Perlembagaan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN