IPOH: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had dua penggal jawatan Perdana Menteri esok di Dewan Rakyat, mencerminkan komitmen Pakatan Harapan (PH) dalam merealisasikan agenda reformasi institusi negara.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, kedua-dua pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama manakala bacaan kali kedua dan ketiga pada 2 dan 3 Mac depan.
“Jika kedua-dua reformasi institusi ini berjaya dilaksanakan, Malaysia akan menjadi negara pertama yang mengamalkan sistem Westminster iaitu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun.
“Ketika ini, hanya negara yang mengamalkan sistem Presiden mempunyai had dua penggal seperti Amerika Syarikat, Indonesia, Taiwan dan Filipina. Bagi sistem Perdana Menteri, Malaysia bakal menjadi yang pertama,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pindaan bagi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula akan memperkukuh integriti sistem perundangan negara dengan memastikan tiada lagi konflik kepentingan dalam pelaksanaan kuasa pendakwaan.
Katanya, Peguam Negara akan kekal sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan, manakala Pejabat Pendakwa Raya yang berasingan akan melaksanakan kuasa pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Maka dengan reformasi institusi ini, tidak ada lagi konflik berkepentingan antara dua pihak sekali gus membuktikan janji-janji manifesto PH telah pun ditepati,” katanya.
Tambah Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pindaan terbaharu itu merupakan pindaan Perlembagaan kali keempat dilaksanakan di bawah Kerajaan Madani.
Terdahulu katanya, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada 1 Jun depan selain pindaan berkaitan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869).
“Empat kali pindaan yang dilaksanakan ini jelas membuktikan semua janji PH sedang ditepati. Kita akan memastikan pelaksanaan pindaan ini akan terus membawa manfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










