Ruang udara Asia Barat terjejas, penumpang dinasihat semak status penerbangan

Ruang udara Asia Barat terjejas, penumpang dinasihat semak status penerbangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penumpang yang merancang perjalanan melalui beberapa destinasi di Asia Barat dinasihatkan menyemak status terkini penerbangan masing-masing terus dengan syarikat penerbangan sebelum berlepas ke lapangan terbang.

Nasihat itu dikeluarkan susulan sekatan ruang udara di beberapa bahagian rantau berkenaan yang berpotensi menyebabkan kelewatan, perubahan laluan atau pembatalan penerbangan berdasarkan penilaian keselamatan oleh syarikat penerbangan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Malaysia Airports, walaupun terdapat perkhidmatan yang masih beroperasi, jadual dan laluan penerbangan boleh disemak semula pada saat akhir.

“Justeru, penumpang diminta mendapatkan pengesahan status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

“Penumpang yang bercadang ke destinasi terjejas di Asia Barat juga diingatkan bahawa gangguan bukan sahaja melibatkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah boleh menjejaskan penerbangan sambungan melalui hab transit alternatif di luar rantau tersebut,” katanya hari ini.

Malaysia Airports berkata, walaupun perjalanan dibuat melalui titik transit lain di luar Asia Barat, sektor penerbangan seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau dikenakan sekatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menyemak keseluruhan jadual perjalanan termasuk sektor penerbangan sambungan sebelum membuat sebarang perancangan perjalanan.

“Komuniti lapangan terbang termasuk Malaysia Airports selaku pengendali, syarikat penerbangan, pengendali darat, pihak pengawal selia serta pemegang taruh berkaitan kini bekerjasama rapat memantau perkembangan semasa.

“Pasukan lapangan terbang turut bersiap siaga untuk memberi panduan, menyelaras pengaturan perlu bersama syarikat penerbangan serta membantu penumpang yang terjejas di terminal,” katanya.

Dalam pada itu, penumpang digalakkan memastikan maklumat hubungan dikemas kini dengan syarikat penerbangan masing-masing selain memantau saluran rasmi syarikat penerbangan dan lapangan terbang bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Bagi maklumat berhubung hak penumpang, orang ramai boleh merujuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah seliaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN